HARI WANITA LUAR BANDAR SEDUNIA

Webinar mengenai wanita dan kepimpinan ini telah dibuat berdasarkan keperluan untuk mengetengahkan isu wanita terutama wanita Orang Asal Sabah dan selaras dengan Hari Wanita Luar Bandar Sedunia iaitu pada 15 Oktober 2020 dengan bertemakan Kreativiti wanita dalam kehidupan di luar Bandar. Anjuran ini juga telah dibiayai oleh Forum Antarabangsa Wanita Orang Asal (FIMI).

Pada mulanya, webinar ini hanya dijalankan secara berdaftar dan melalui zoom. Oleh kerana menerima respon yang baik, “team” pelaksana webinar ini telah memutuskan untuk menyiarkannya secara “live” di page FB PACOS Trust.

Antara objektif adalah:-

  1. Mengongsikan pembelajaran dan pengalaman kepimpinan wanita orang asal dari pelbagai latar belakang
  2. Meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai sumbangan wanita orang asal dalam pembangunan mapan, keselamatan makanan, pemegang pengetahuan, pendidikan, kesihatan, penjagaan tanah dan sesuatu perkumpulan

Seramai lapan orang panelis yang telah memberikan perkongsian mengenai pengalaman dan penglibatan mereka sebagai wanita dalam kepimpinan tidak kira dalam peringkat komuniti hingga ke peringkat yang lebih tinggi. Antara ahli panel yang terlibat ialah:-

  1. Pn. Noridah Samad berkongsi mengenai Perjuangan Belia Dan Alam Sekitar
  2. Pn. Diana Sipail berkongsi mengenai Perjuangan Wanita Dalam Menentang Pembangunan Yang Tidak Mapan
  3. Cik Maslah Rompado berkongsi mengenai Perjuangan Wanita Dalam Mendapatkan Tuntutan Tanah/Wilayah Tanah Adat
  4. Pn. Kamsi Ahmad berkongsi mengenai Pengalaman Dalam Sektor Ekonomi
  5. Pn. Josphen Joannes berkongsi mengenai Pengalaman Sektor Pendidikan
  6. Pn. Rufina Isbol berkongsi mengenai Pengalaman Dalam Keganasan Terhadap Wanita
  7. Prof. Dr. Helen Lasimbang berkongsi mengenai Kesihatan Wanita
  8. YB Jannie Lasimbang berkongsi mengenai Kepimpinan Wanita Dalam Politik

Salah satu sebab yang mendorong kesemua panelis menjadi pemimpin adalah disebabkan mereka menghadapi isu di tempat sendiri seperti isu pembukaan kolam udang besar-besaran, pembinaan empangan, penuntutan wilayah tanah adat, ekonomi, pendidikan, kesihatan, keganasan terhadap wanita serta memperjuangkan penglibatan wanita dalam politik. Antara cabaran yang dihadapi dan diketengahkan semasa webinar ini sebagai pemimpin wanita adalah kurangnya sokongan dan solidarity daripada komuniti atau pemimpin kampung, kekurangan sumber kewangan untuk menjalankan sesuatu aktiviti, pengetahuan kurang dari segi hak-hak yang berkaitan atau umum, pergerakan terhad kerana komitmen kepada keluarga, kekurangan akses dari segi rujukan kepada pakar mengenai sesuatu perkara yang berkaitan, keadaan geografi yang menyukarkan perjalanan dan banyak lagi.

Para panelis juga telah memberikan cadangan agar wanita orang asal diberikan latihan, bimbingan dan pendedahan agar wanita lebih berani dalam melibatkan diri serta menyuarakan pendapat sama ada dalam peringkat komuniti, negeri ataupun antarabangsa. Ini kerana Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang telah disahkan oleh Kerajaan Malaysia pada Tahun 1995 dimana di dalam artikel 3 telah menyeru Negara untuk mengambil dalam semua bidang, khususnya dalam bidang politik, sosioal, ekonomi, dan kebudayaan, semua langkah-langkah yang sesuai, termasuk perundangan bagi mereka melaksanakan dan menikmati hak-hak asasi manusia dan kebebasan asasi atas dasar kesamarataan dengan lelaki.

Advertisement