
9 Ogos pada setiap tahun adalah tarikh keramat untuk menyambut Perayaan Hari Orang Asal Sedunia. PHOAS adalah sambutan untuk meningkatkan kesedaran dan melindungi hak masyarakat orang asal di seluruh dunia. Selain daripada itu, tujuan PHOAS juga adalah untuk mengiktiraf pencapaian dan sumbangan Orang Asal/Asli khususnya di dalam usaha membaiki isu dunia khususnya berkaitan perlindungan alam sekitar.
Isu Pandemik COVID-19 dan PHOAS 2020
Sambutan PHOAS 2020 sudah pastinya berbeza daripada tahun sebelumnya dan memberikan cabaran kepada seluruh dunia. Pandemik COVID-19 memberi cabaran kepada masyarakat Orang Asal untuk berhimpun secara maya atau dalam talian yang dianjurkan oleh Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), Center of Orang Asli Concern (COAC) dan PACOS Trust. Menjadi cabaran kerana selain mengikuti SOP (Standard Operation Procedure) yang ketat oleh kerajaan untuk mengelakkan jangkitan COVID-19, mereka juga terpaksa bertungkus-lumus untuk membuat persiapan program seperti sesi Webinar menerusi ruangan zoom, Pertandingan Videografi dan Fotografi serta dan persembahan kebudayaan. Uniknya tahun 2020 ini semuanya dianjurkan secaya maya termasuk upacara pembukaan program iaitu Ritual Pembuka acara oleh ‘Bobohizan’.
Impak pandemik COVID-19 telah mencabar Masyarakat Adat untuk menggunakan teknologi moden dengan sehabis mungkin. Ini telah dibuktikan dengan penganjuran yang telah tersusun rapi dan berjaya oleh pihak penganjur. Ini juga membuktikan bahawa Orang Asal tidak ketinggalan dalam globalisasi. Bersidang secara dalam talian yang meliputi 10 pusat utama Sabah, Semenanjung Malaysia dan Sarawak. Anggaran peserta adalah sebanyak 323 orang sepanjang sambutan PHOAS 2020 adalah satu pencapaian yang baik kerana setiap program yang dianjurkan meskipun atas talian (Online) mestilah mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan.
Antara intipati PHOAS kali ini adalah Webinar bertajuk “Perkahwinan bawah umur 18 tahun dalam kalangan Orang Asal”. Menurut kajian UNICEF 2019, secara global sebanyak 21 % wanita muda berkahwin sebelum mereka mencapai umur 18 tahun. Konvensyen Hak Kanak-Kanak 1989 di bawah Artikel 1 mendefinisikan kanak-kanak sebagai seseorang yang berumur dibawah 18 tahun. Di Malaysia, Akta Kanak-Kanak 2001 juga mendefinisikan kanak-kanak sebagai seseorang yang berumur di bawah 18 tahun. Perkahwinan Kanak-Kanak menurut UNICEF (2006) adalah perkahwinan atau penyatuan tidak formal di antara kanak-kanak dengan orang dewasa atau kanak-kanak yang lain.
Sepanjang webinar berlangsung, faktor utama perkahwinan awal kanak-kanak adalah kekurangan akses kepada pendidikan maklumat berkaitan seksual dan kesihatan reproduktif. Atas sebab tersebut mendatangkan banyak implikasi kepada kepada kanak-kanak. Sudah tentu perkahwinan awal akan mengganggu perkembangan kanak-kanak kerana fasa usia di bawah 18 tahun adalah untuk meneroka dunia khususnya dalam mengenal kehidupan. Fasa pembelajaran ini sudah tentu terganggu kerana pada usia yang muda sudah memegang tanggungjawab yang besar dalam keluarga.
Kanak-kanak Orang Asal adalah aset masa depan komuniti dan pemimpin hari esok, melalui mereka kita meletakkan harapan, aspirasi, impian dan janji komuniti orang asal yang lebih baik. Mereka seharusnya menikmati kehidupan dan menikmati pengalaman kanak-kanak yang memandu mereka untuk bersedia menghadapi kehidupan sebagai orang dewasa. Sebagai seorang dewasa, wajarkah kita menafikan peluang kanak-kanak untuk menikmati zaman kegemilangan mereka? Perkahwinan Kanak-Kanak adalah episod sedih dalam kehidupan masyarakat yang membunuh masa depan mereka.
Oleh itu hentikahlah!







