
“Penyatuan dan Saling Melengkapi” – Pertemuan Pemimpin Orang Asal Ke-7
Pada 28-30 November 2019, wakil komuniti dari 5 zon kawasan jaringan PACOS Trust ( Zon Kinabalu, Zon Pantai Barat Selatan, Zon Timur, Zon Utara, Zon Pedalaman) telah datang ke perkarangan pejabat PACOS Trust untuk bersama merayakan hari Pertemuan Pemimpin Orang Asal kali ke-7. Juga bersama di dalam pertemuan ini adalah guru-guru dari CLC Seka Penan, Sarawak.
Pada tahun ini, bertemakan “Penyatuan dan Saling Melengkapi”, dengan memberikan ruang pertemuan hujung tahun bersama pemimpin Pertubuhan Rakyat untuk penilaian, perkongsian dan merayakan pencapaian pertubuhan rakyat, berkongsi rancangan tindakan, mengukuhkan hubungan kerjasama dan sokongan antara Pertubuhan Rakyat dan Rangkaian Sokongan dalam perjuangan Orang Asal. Didalam pertemuan ini juga, mereka dapat mempromosi dan memperkenalkan produk komuniti serta aktiviti Pertubuhan Rakyat di setiap zon serta pengukuhan jatidiri dan solidariti komuniti Orang Asal Sabah.
Acara kemuncak diadakan pada 30 November di mana Dr. Felix, Presiden PACOS Trust telah berkongsi ceramah motivasi beliau yang bertajuk “Solidariti Dalam Perjuangan”. Komuniti di setiap zon telah membuat pondok-pondok tradisi mereka serta mempromosi/mempamerkan produk-produk kraftangan yang telah dihasilkan oleh mereka sendiri. Program pada hari tersebut telah dirasmikan oleh Adun N.20 Moyog, YB Jenifer L. (Pembantu Menteri Pendidikan & Inovasi Sabah). Acara persembahan kebudayaan, masakan tradisi, pertandingan sukan tradisi dan pertandingan kuiz turut dijalankan pada hari tersebut.
Kesemua zon merupakan pemenang di dalam program pertemuan pemimpin, namun pemenang keseluruhan bagi pertemuan pemimpin pada tahun ini telah disandang oleh zon pedalaman, berdasarkan markah keseluruhan program pertemuan pemimpin dan sepanjang tahun aktiviti pencapaian aktif yang mereka telah anjurkan di kawasan zon mereka sendiri.
Simbolik penyerahan kelengkapan pakaian daripada UNIQLO telah diserahkan kepada wakil disetiap zon.
Syabas kepada semua pemimpin/komuniti yang datang dan bertungkus lumus untuk menghias pondok mereka dan mengambil bahagian dalam semua aktiviti. Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Kita jumpa lagi pada tahun hadapan!