Satu gerakan belia yang dipanggil Majlis Belia Orang Asal Sabah telah dilancarkan penubuhannya oleh Pengarah eksekutif CSO (Civil Society Organizing) Pacos Trust Puan Anne Lasimbang pada 23 feb 2018 bertempat di Pusat Ziarah Kudus Keluarga Nulu Sosopon Keningau Sabah. Tiga hari sebelum pelancaran telah diadakan latihan mengenai belia orang asal dengan modul kepimpinan dan organisasi. Seramai 70 belia yang datang daripada seluruh negeri telah hadir menyertai program tersebut. Pressella Paulus telah dilantik sebagai Yang diPertua Majlis Belia Orang Asal Sabah dan dibantu oleh 5 orang Pengerusi daripada Zon Utara, Zon Kinabalu, Zon Pantai Barat Selatan, Zon Timur dan Zon Pedalaman. Selain itu, Majlis itu juga turut disokong oleh 10 Majlis Belia diperingkat daerah.
Penyelaras Projek UNDEF (United Nation Democracy Funds) Addy Samsudin, Memaklumkan bahawa penubuhan MBOAS adalah untuk memperkasakan belia orang asal khususnya di Sabah. Dalam projek yang dijalankan selama dua tahun itu, pelbagai latihan, pendidikan dan kesedaran akan dijalankan sekitar pedalaman sabah bagi memperkasa belia orang asal. Dengan adanya MBOAS ini kami berharap dapat mengumpulkan belia orang asal dan membincangkan mengenai identiti dan budaya mereka. Selain itu, projek ini turut menjalankan pendidikan demokrasi kepada belia dan komuniti. Antara aktiviti demokrasi yang dijalankan adalah mendaftar sebagai pengundi, latihan advokasi, kewarganegaraan dan pendidikan hak.
Pengetahuan orang asal semakin dilupakan terutamanya belia. Antara faktor terbesar adalah apabila belia keluar daripada kampung dan bekerja di bandar. Kesannya menyebabkan hubungan dengan komuniti semakin renggang kerana terlalu lama berada di luar kampung (bandar). Apabila semakin jauh dengan kampung Bahasa Ibunda (Mother Tongue) semakin kurang diamalkan begitu juga dengan amalan tradisi dan budaya. Jika perkara ini berlarutan maka perkara ini sangat membimbangkan kerana amalan tradisi dan budaya bakal lesap ditelan zaman.
Salah satu misi MBOAS adalah untuk memastikan supaya pengetahuan tradisi dikuasai dan diamalkan secara optimum. Belia orang asal kami didik supaya tinggal dikampung dan menghasilkan kerja. Banyak kerja yang boleh dilakukan jika menguasai pelbagai kemahiran seperti pertanian, pertukangan, kraftangan, hasil herba dan hasil hutan masih boleh didapati. Namun realiti sekarang sangat membimbangkan, jika kita masuk sesuatu kampung, sangat sukar untuk kita menemui belia yang berumur 19 sehingga 30 tahun berada di dalam kampung dan bekerja sepenuh masa dikampung. Maksudnya, tenaga belia yang maksimum tidak digunakan dikampung tetapi digunakan untuk membangunkan bandar. Oleh sebab itu kami sangat menggalakkan belia untuk tinggal dikampung supaya budaya dan tradisi terus diamalkan dan dikekalkan.
Kami berharap MBOAS menjadi satu platform yang membantu belia orang asal khususnya dalam memperkasa kehidupan orang asal dan memantapkan identiti dan pengamalan budaya. Selain itu, sokongan daripada NGO belia yang lain amatlah kami harapkan dan MBOAS sangat terbuka untuk membincangkan perkara yang dibangkitkan. Selepas ini kami akan memprosmosikan MBOAS di kampung-kampung dan menjalankan aktiviti bersama belia dan komuniti.
Sebagai masyarakat orang asal, kehidupan mestilah sangat dekat dengan alam semula jadi seperti hutan, sungai, paya bakau, bukit sebagai kawasan tadahan air termasuk juga flora dan fauna. Rasa kepunyaan terhadap alam semula jadi sangat tinggi dan seterusnya menghargai dan menjaga pemberian Tuhan ini kepada kita. Oleh itu, perampasan tanah adat, penebangan hutan yang tidak terkawal dan pencemaran sungai sangat mempengaruhi kehidupan orang asal dan sangat menjejaskan. Kita jangan lupa bahawa Orang Asal adalah penjaga sebenar hutan dan sungai kerana Alam Semula jadi adalah kehidupan mereka.