Longest NCR Case Settled – Darinsok Case

Ditulis oleh Galus Ahtoi. (Klik sini untuk artikel asal)

# 015/16 – Wilayah Tanah Adat (NCR) & Mahkamah [Kes Darinsuk – kini telah selasai secara menang-menang melalui proses mediation]

Kota Kinabalu (22 Mac 2016) – Pada 11 Oktober 2002, plaintif-plaintif membawa tindakan perwakilan ini atas pihak mereka sendiri dan atas pihak 7 lagi kumpulan penduduk, pemegang dan penuntut tanah yang terletak hak tanah adat (NCR) di kawasan Tongod meminta relif terhadap para defendan.

Menurut kes para plaintif, mereka adalah penduduk asal dan keturunan masyarakat orang asal Negeri Sabah dari komuniti-komuniti Dusun; khususnya dari kaum etnik Minokok, Mangkaak, Makiang, Rumanau dan Sinabu.

Menurut kes para plaintif juga, mereka dan nenek moyang mereka sudah menetap sebagai komuniti asal di kawasan Tongod sekurang-kurangnya 8 generasi sebelum pembentukan Koloni British Borneo Utara, pendahulu kepada Kerajaan Negeri Sabah, dan sebelum penggubalan Ordinan Tanah 1930 dan semua proklamasi dan undang-undang dalam tanah sejak 1881.

Pendirian para plaintif adalah bahawa mereka dan nenek moyang mereka telah memperoleh hak tanah adat (NCR) sejak dahulu kala lagi atas wilayah pusaka mereka.

Menurut kes para plaintif, sejak tahun 1970-an, mereka secara peribadi atau melalui pendahulu mereka telah memohon kepada Pengarah Tanah & Ukur, Sabah untuk pengeluaran dokumen-dokumen geran bagi bahagian-bahagian tanah yang membentuk kawasan mereka.

Pertikaian dalam kes ini timbul apabila Pengarah Tanah & Ukur meluluskan permohonan tanah Hap Seng Consolidated Bhd untuk Country Lease (C.L.) pada tahun 1997 dan kemudiannya memberi milik dan mengeluarkan geran tanah kepada Hap Seng Consolidated bagi tanah seluas 21,819 ekar pada 1999.

Hap Seng Consolidated Bhd dan Asiatic Development Bhd telah membuka tanah tersebut dan menanamnya dengan kelapa sawit.
Pada 2002, Hap Seng Consolidated Bhd menjual dan memindah milik tanah tersebut kepada Tanjung Bahagia Sdn Bhd.

Para plaintif menegaskan bahawa pemberian milik tanah tersebut kepada Hap Seng Consolidated Bhd oleh Pengarah Tanah & Ukur adalah tertaluk kepada hak tanah adat (NCR) mereka secara bersama.

Tuntutan para plaintif terhadap para defendan telah dicetuskan oleh tindakan salah para defendan dalam menceroboh ke dalam tanah para plaintif tersebut untuk menjalankan kerja-kerja mengukur, pembukaan tanah secara meleluasa dan kerja-kerja tanah.

Para plaintif telah mendakwa bahawa tindakan salah para defendan telah memusnahkan dan merosakkan kebanyakan bahagian tanah tersebut yang terdiri daripada tanaman, pokok buah-buahan, kawasan perkuburan, kawasan bersejarah dan hasil hutan yang lain.

Tuntutan para plaintif terhadap Pengarah Tanah & Ukur dan Kerajaan Negeri adalah bahawa pemberimilikan dan pengeluaran Country Lease (C.L.) bagi tanah mereka tersebut adalah salah dan/atau melanggar perlembagaan persekutuan dan/atau melanggar tanggungjawab fidusiari mereka kepada penduduk kampung.

Para plaintif juga mendakwa bahawa pengambilan dan pemberimilikan tanah adat mereka telah melanggar fasal 8, 5, dan 13 Perlembagaan Persekutuan di mana adanya diskriminasi dari segi proses dan pampasan berkenaan pengambilan tanah adat dan kehilangan sumber kehidupan orang asal.

Selanjutnya dan juga secara alternatif, para plaintif menuntut bahawa pemberimilikan dan pengeluaran Country Lease (C.L.) tersebut melanggar perlembagaan persekutuan di mana ia mencabuli kedudukan istimewa orang asal di Negeri Sabah.

Kes Mahkamah Tinggi ini yang di bawa oleh para penduduk kampung yang ternama di atas dari 7 buah kampung yang menuntut hak tanah adat bagi tanah pusaka mereka telah mengambil masa 15 tahun untuk akhirnya datang kepada penyelesaian aman melalui mediation yang telah dikendalikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum.

Mediation telah berjaya disiapkan pada awal bulan Mac, 2016.

Para peguam bagi pihak-pihak kes ini telah hadir di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Douglas Cristo Primus Sikayun yang telah memasukkan penghakiman persetujuan atas terma-terma yang dipersetujui oleh semua pihak.

Kes ini, dikenali sebagai kes “Darinsok”, akhirnya telah mencapai penamatan yang gembira selepas 115 hari bicara dengan meneliti 16 orang saksi yang di bawa oleh para plaintif.

Kes Darinsok telah dikatakan adalah kes yang tertua yang belum selesai dalam Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

Dalam perjalanan prosiding kes ini, para plaintif/penduduk kampung telah mengalami cabaran sukar apabila tuntutan mereka telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2008 dan oleh Mahkamah Rayuan semasa rayuan pada 2011 atas sebab Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidangkuasa asal untuk mendengar tuntutan para plaintif berkenaan hak tanah adat (NCR) di bawa Ordinan Tanah Sabah.

Walaubagaimanapun, kes Darinsok telah di hidupkan semula pada November 2011 apabila Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan para plaintif terhadap pembatalan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Yang Arif Datuk Douglas Primus mengambil alih kes Darinsok dan sehingga ini menjadi hakim bicara sejak 26 November, 2012.
Dalam tindakan perwakilan ini, para penuntut/penduduk kampung telah diwakili oleh mendiang K.K. Darinsok Pangiran Apan, 83, Kayah Unto, 44, Wilster Lewrince, 49, Jaafar Dorong, 51, dan Jaimon Darinsok, 44.

Dalam writ saman ini, para plaintif telah menamakan Hap Seng Consolidated Bhd, Asiatic Development Bhd, Tanjung Bahagia Sdn Bhd, Pengarah Tanah & Ukur Sabah dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai defendan pertama, ke-dua, ke-tiga, ke-empat dan ke-lima secara masing-masing.

Para plaintif telah diwakili oleh peguam Datuk Kong Hong Ming dan Mary Lee sementara defendan pertama diwakili oleh peguam Datuk Simon Shim dan Pang Pin Pin. Peguam Michael Denis Tan dan Melvin Fabia mewakili defendan ke-dua dan ke-tiga. Pengarah Tanah & Ukur dan Kerajaan Negeri Sabah telah diwakili oleh Addriana Kousai, Peguam Negeri bagi Kamar Peguam Negeri.


 

Click here to visit the Borneo Post for their English language report on the same case.